Kerjaya muzik Siti_Nordiana

Penglibatan awal

Beliau mula menceburi bidang seni suara pada 1999 ketika berusia 15 tahun dan telah melancarkan 5 buah album studio secara solo. Beliau dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu pop Melayu dan juga tradisional.

Duo Achik & Nana

Lihat juga: Achik & Nana

Selain berkecimpung sebagai penyanyi solo, Nana juga dikenali sebagai pasangan duo bersama penyanyi Achik, vokalis kumpulan Spin dan merupakan rakan baik kepada Nana. Mereka terlebih dahulu mengenali sesama sendiri ketika zaman remaja di Negeri Sembilan sebelum sama-sama menyertai syarikat rakaman FMC seterusnya menjadi pasangan duet yang diminati ramai. Duo Achik & Nana telah berjaya memikat hati pendengar dengan dua buah album studio yang membariskan hits terbaik serta mendapat sambutan hangat dari zaman kegemilangan mereka sehingga pada masa kini.

Kebangkitan semula

Pada tahun 2015, Siti Nordiana telah menyertai rancangan realiti iaitu Gegar Vaganza (musim 2) setelah ditawarkan oleh pihak Astro untuk menyertai rancangan tersebut. Nama Siti Nordiana kembali naik dan popular apabila pada minggu ke-4 Siti Nordiana berduet bersama rakan baiknya iaitu Lan Kristal dengan lagu Memori Berkasih. Persembahan mereka menjadi viral di laman sosial sehingga menjadi siulan orang ramai dan mengimbau kembali kenangan bersama rakan duetnya yang merupakan rakan baiknya iatu Allahyarham Achik Spin. Nana memberikan persembahan yang terbaik pada setiap minggu sehingga beliau dinobatkan sebagai Juara Gegar Vaganza (musim 2) [4]dengan mendendangkan lagu Putus Terpaksa dan Awak Kat Mana. Sekaligus membawa hadiah wang tunai RM 100,000 beserta trofi dan Persembahan Terbaik berjumlah RM 5,000.

Pada tahun 2016, Nana telah merakam sebuah lagu berjudul Pesanan Teragung hasil terbitan Astro. Lagu ini kurang mendapat sambutan daripada semua pencinta muzik walaupun berjaya memasuki carta Muzik Muzik. Pada tahun ini juga Nana telah berlakon dalam drama bersiri Dia Semanis Honey di Astro Ria dan Ria HD. Drama ini berjaya memikat hati penonton sehingga drama ini menjadi kata carian paling hangat di Google Malaysia.

Pada tahun 2017, Nana telah melancarkan sebuah single hasil ciptaan sepenuhnya oleh beliau sendiri yang berjudul Terus Mencintai. Lagu ini berjaya memikat hati pendengar dan menjadi antara lagu paling popular pada tahun 2017. Lagu ni menjadi Juara di corong radio yang terdapat di Malaysia. Lagu ini juga menjadi juara di Carta Muzik Muzik beberapa minggu dan melayakkan diri ke Separuh Akhir Muzik Muzik 32. Walau bagaimanapun, lagu ini tidak mara ke Pentas Akhir AJL 32. Namun begitu ini tidak menghalang Nana terus berkarya dengan lagu-lagu yang baru. Nana juga memenangi Kategori Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-30 dan Penyanyi Meletop di Anugerah MeleTOP Era 2017.